Monday, August 20, 2007

Memahami kejadian, kemuliaan manusia

MANUSIA adalah makhluk yang dimulia dan diangkat darjat atau kedudukannya di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dinyatakan dalam maksud firmannya, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam” – (surah al-Isra:70)

Manusia dalam bentuk asal penciptaan atau kejadiannya adalah makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Allah telah memerintahkan malaikat dan iblis sujud kepada Adam sebagai satu penghormatan (bukan penyembahan) sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah al-Baqarah, ayat 34.

Manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan adalah makhluk Allah yang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah semuanya sama di segi penciptaan dan fitrahnya.

Sungguh pun begitu Allah SWT menjelaskan bahawa kemuliaan seseorang insan itu adalah terletak kepada ketakwaannya terhadap Allah SWT. Ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”. – (surah al-Hujarat:13)


Manusia adalah makhluk istimewa yang memiliki dimensi jasmani dan rohani, jiwa dan raga serta dikurniakan nafsu (nafs) dan akal (aql) iaitu kelengkapan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Jika kemuliaan manusia diperoleh melalui kemampuannya menggunakan kelengkapan yang dikurniakan Tuhan kepadanya dalam bentuk pengabdian diri yang menepati risalah rasul maka kejatuhan manusia ke lembah kehinaan pula adalah disebabkan kegagalan manusia menggunakan dan memanfaatkan kelengkapan yang diberikan Allah kepadanya.

Allah SWT telah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang yang rendah.” – (surah at-Tiin:4-5)

Dengan kehebatan akal dan kerohaniannya, ia mampu berfikir dan berasa, mampu membuat pilihan (bebas) serta mampu menyesuaikan diri dengan sesuatu yang dihadapinya (perubahan zaman). Namun, jika seandainya fikiran dan jiwanya berada di luar batas fitrah dan kemanusiaannya maka manusia boleh menghadapi ‘krisis rohani’ yang mampu menghakis dan melenyapkan kemuliaan dan makna kewujudannya di alam ini serta mampu membawa malapetaka dan kehancuran dalam kehidupan dan tamadun manusia.

Sesungguhnya sikap, karakter dan tabiat insan itu ada kaitannya dengan unsur yang ada dalam ciptaan dirinya. Tentang kejadian manusia, al-Quran menjelaskan bahawa manusia berasal dari:

Air (al-ma'u): “Dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup” – (al-Anbiyaa': 30). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan bahawa benda-benda hidup yang dimaksudkan itu termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Tanah liat (shalshalin kalfakhkhar): “Ia menciptakan manusia lembaga Adam dari tanah liat kering seperti tembikar” – (ar-Rahman:14). Sari dari tanah (sulalatin min thi'n): “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah.” – (Al-Mukminun: 12)

Zat renik (turab): ”Kami telah menciptakan kamu dari tanah.” (al-Hajj: 5) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menyatakan kejadian dari tanah ini ialah yang berasal dari pati makanan yang diperoleh dari tanaman dan hidupan di bumi.

Adam adalah manusia awal dan pertama dicipta dari thi'n, sementara anak-cucu Adam (Bani Adam) pula daripada nuthfah lalu berkembang di dalam kandungan ibunya setiap 40 hari dalam setiap proses perkembangannya.

Bermula dari nuthfah (40 hari), alaqah (40 hari) dan kemudian mudghah (40 hari) lalu manusia kemudiannya diberi ruh pada hari ke 120. Proses ini dijelaskan dalam surah seperti Al-Sajdah: 7-9, Al-Hijr :28-29, Shad:71-72. Semua proses perkembangan manusia di dalam rahim ibunya seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran telah dibuktikan melalui ilmu perubatan moden.

Al-Quran turut memperkenalkan tiga nama untuk manusia. Nama ini pula mempunyai maksud tertentu yang menggambarkan mengenai sifat (karakter) insan itu sendiri. Ketiga-tiga nama itu (banyak terdapat dalam al-Quran dan mudah dijumpai) ialah:

Insan yang berasal dari kata ‘uns yang bermaksud jinak, harmoni dan tampak. Juga dari kata nasiya yang bermaksud lupa/lalai. Basyar: lebih menunjukkan sifat jasmani/lahiriah manusia. Bani Adam: anak Adam atau zuriat Adam.

Berdasarkan kepada tiga nama yang digunakan oleh al-Quran itu maka dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa Bani Adam (anak Adam), iaitu manusia dapat dilihat dalam dua dimensi atau kaca mata iaitu dimensi Al-Basyar iaitu manusia sebagai makhluk hidup dari aspek biologinya (anatomi dan fisiologinya) dan dimensi Al-Insan iaitu manusia sebagai mahkluk hidup secara psikologi dan berkesedaran yang dihubungkan dengan unsur roh (rohaniah).

Jika kita amati dan fahami unsur ciptaan manusia maka jelaslah bahawa jasmani manusia adalah terbina daripada bahan rendah yang bersifat material iaitu tanah (segumpal darah) yang mudah rosak dan musnah.

Dalam proses tumbesaran fizikal (tubuh badannya) manusia bergantung kepada makanan yang semuanya bermula dari tanah yang kesuburannya bergantung kepada air. Namun bila kita lihat kepada komponen kedua unsur ciptaan manusia iaitu roh (rohani) maka manusia mempunyai destini ke arah alam tinggi, alam metafizik, alam spiritual atau lebih jelas lagi alam akhirat.

Destini yang tinggi ini jelas dapat kita fahami pada tabii yang ada pada manusia iaitu akal (intelek), akhlak serta spiritual insan yang cenderung kepada hal kerohanian dan metafizik.

Muhammad Iqbal dalam menerangkan konsep khudi (diri) menjelaskan bahawa manusia pada hakikatnya adalah makhluk kerohanian (spiritual) di mana ia mampu membangun, mengembang dan menyempurnakan dirinya ke arah penyempurnaan kehidupannya.

Manusia melalui potensi kerohanian yang dikembangkan melalui aktiviti intelektual (ilmu pengetahuan), agama, kebudayaan dan kesusasteraan dapat merealisasikan dirinya secara sempurna dan menemukan jati dirinya sebagai khalifah tuhan di muka bumi ini. Melalui aktiviti intelektual dan kerohanian inilah maka terbangun dan berkembangnya tamadun manusia.

Dalam pemikiran filsafat Sunan Bonang (Wali Songo) pula, ulama sufi ini melihat manusia secara rohaninya dilengkapi dengan sifat kekuasaan (jalal), keindahan (jamal) dan kesempurnaan (kamal) Tuhan.

Sunan Bonang melihat seluruh alam dunia ini ada dalam diri manusia dan untuk memahaminya manusia perlu mengenal dirinya. Bagi Sunan Bonang sholat adalah perbuatan menuju dan menyerah diri sepenuhnya kepada ‘Yang Dipuja’ atau ‘Yang Disembah’ iaitu tidak lain ialah Allah SWT.

Di kalangan ahli sufi manusia di anggap tajalli tuhan yang memiliki rahsia ketuhunan. Konsep tasawuf melihat manusia memiliki sifat nasut (kemanusian) dan lahut (ketuhanan). Sifat nasut didasarkan kepada dimensi materi (jasmaniah) manusia sementara sifat lahut pula didasarkan kepada dimensi rohani (spiritual) manusia.

1 comment:

neneknora said...

honestly, bole sesape explain skit psl 'nasut' n 'lahut'... ak x brani lak nak interpret sendiri maksdny.. help~~