Tuesday, August 21, 2007

tazkirah Remaja: Banyak dosa hati keras

SEMUA orang tahu racun sangat berbahaya. Jangankan racun, keracunan makanan pun ditakuti.

Bagaimanapun, tidak ramai orang yang tahu betapa bahayanya dosa. Ia lebih berbahaya daripada racun.


Dosa membuatkan seseorang merana di dunia dan akhirat. Paling teruk kalau terminum racun orang akan mati tetapi bahaya dosa orang akan dibakar di neraka dan sebelum dibakar api neraka, orang berdosa ini terlebih dulu membakar yakni menyusahkan orang lain di dunia.

Ada orang kata dosa adalah soal peribadi masing-masing, buat masing-masing tanggung, jaga kubur masing-masing.

Sangat tidak betul kata-kata itu. Kubur kita orang lain yang gali manakala kubur orang lain terkadang kita yang kena uruskan.

Maknanya dosa yang kita lakukan akan menyusahkan orang lain. Peminum arak rasa itu perbuatan peribadi, duit dia dan kalau mabuk dia yang terhoyong-hayang.

Memanglah duit dia tetapi jika dah mabuk dia langgar orang, dah berapa ramai mangsa kemalangan angkara pemabuk. Rumah tangga lintang pukang dek kerana arak. Kan menyusahkan orang tu.

Antara bahaya dosa yang banyak itu ialah:

(1) Akan dicabut daripadanya nur iaitu cahaya dan seri keimanan terutama apabila melakukan dosa besar. Muka yang tidak pernah dibasahi air wuduk akan kehilangan serinya. Wajah inilah yang akan menerangi anggota wuduk di akhirat nanti.

(2) Tertutup daripada kebenaran. Maknanya pendosa mana baik dan buruk tetapi tak ikut kebaikan, dia tahu yang buruk tetapi tidak dapat meninggalkannya.

(3) Hilang rasa spontan terhadap amal kebaikan dan ganjaran serta tawaran pahala. Bila sebut syurga dia tidak teringin, bila disebut neraka tidak takut apa pun malah mengejek masuk neraka bukan seorang.

(4) Berat dan payah benar apabila ingin beramal sebaliknya mudah dan ringan apabila diajak melakukan dosa dan maksiat.

Menurut ibnu al Qayyim, sesiapa yang melakukan dosa pada waktu malam, dia amat berat untuk melakukan amal pada siang kerana dosa yang dilakukan pada waktu malam menghalang beramal dan begitulah sebaliknya.

(5) Dosa membuatkan hati jadi keras dan degil. Payah benar nak dengar nasihat. Dia nasihat orang boleh tapi sangat berat bila ditegur. Suka bertekak, berbalah dan tidak menghormati orang lain. Bahasanya kasar dan tidak menghormati perasaan orang lain.

(6) Dosa derhaka kepada orang tua boleh berjangkit kepada anak-anak. Allah membalas dengan tindakan anak yang akan menyakitkan hatinya sebagaimana dia menyakiti ibubapanya.

(7) Dosa menjadi hijab doa payah diterima Allah. Ada riwayat yang menyatakan sesiapa makan makanan haram, doanya tidak diterima Allah selama 40 hari.

(8) Terkadang dosa menjadi penghalang daripada mendapat dan menemui jalan penyelesaian.

(9) Dosa menjadi penyebab turunnya bala Allah. Ada satu hadis, Rasul bersabda yang maksudnya apabila nampak sangat zina dan riba, sesungguhnya mereka mengizinkan Allah menurunkan azab.


Justeru dikesempatan ini bersama-samalah kita bertaubat, mengamalkan perintah dan meninggalkan Larangan-Nya...

Monday, August 20, 2007

Memahami kejadian, kemuliaan manusia

MANUSIA adalah makhluk yang dimulia dan diangkat darjat atau kedudukannya di sisi Allah SWT. Hal ini jelas dinyatakan dalam maksud firmannya, “Dan sesungguhnya kami telah memuliakan anak-anak Adam” – (surah al-Isra:70)

Manusia dalam bentuk asal penciptaan atau kejadiannya adalah makhluk yang terbaik (ahsan taqwim). Allah telah memerintahkan malaikat dan iblis sujud kepada Adam sebagai satu penghormatan (bukan penyembahan) sebagaimana yang dinyatakan di dalam Surah al-Baqarah, ayat 34.

Manusia yang terdiri daripada lelaki dan perempuan tanpa mengira warna kulit, bangsa dan keturunan adalah makhluk Allah yang diciptakan berbangsa-bangsa dan bersuku-suku adalah semuanya sama di segi penciptaan dan fitrahnya.

Sungguh pun begitu Allah SWT menjelaskan bahawa kemuliaan seseorang insan itu adalah terletak kepada ketakwaannya terhadap Allah SWT. Ini dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya kami telah menjadikan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenalan (dan beramah mesra antara satu dengan lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, bukan yang lebih keturunan atau bangsanya. Sesungguhnya Allah maha mengetahui, lagi maha mendalam pengetahuan-Nya akan keadaan dan amalan kamu”. – (surah al-Hujarat:13)


Manusia adalah makhluk istimewa yang memiliki dimensi jasmani dan rohani, jiwa dan raga serta dikurniakan nafsu (nafs) dan akal (aql) iaitu kelengkapan yang dikurniakan Allah kepada manusia. Jika kemuliaan manusia diperoleh melalui kemampuannya menggunakan kelengkapan yang dikurniakan Tuhan kepadanya dalam bentuk pengabdian diri yang menepati risalah rasul maka kejatuhan manusia ke lembah kehinaan pula adalah disebabkan kegagalan manusia menggunakan dan memanfaatkan kelengkapan yang diberikan Allah kepadanya.

Allah SWT telah berfirman yang maksudnya, “Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu), Kami kembalikan dia keserendah-rendah peringkat orang yang rendah.” – (surah at-Tiin:4-5)

Dengan kehebatan akal dan kerohaniannya, ia mampu berfikir dan berasa, mampu membuat pilihan (bebas) serta mampu menyesuaikan diri dengan sesuatu yang dihadapinya (perubahan zaman). Namun, jika seandainya fikiran dan jiwanya berada di luar batas fitrah dan kemanusiaannya maka manusia boleh menghadapi ‘krisis rohani’ yang mampu menghakis dan melenyapkan kemuliaan dan makna kewujudannya di alam ini serta mampu membawa malapetaka dan kehancuran dalam kehidupan dan tamadun manusia.

Sesungguhnya sikap, karakter dan tabiat insan itu ada kaitannya dengan unsur yang ada dalam ciptaan dirinya. Tentang kejadian manusia, al-Quran menjelaskan bahawa manusia berasal dari:

Air (al-ma'u): “Dan Kami jadikan dari air tiap-tiap benda yang hidup” – (al-Anbiyaa': 30). Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menjelaskan bahawa benda-benda hidup yang dimaksudkan itu termasuklah manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Tanah liat (shalshalin kalfakhkhar): “Ia menciptakan manusia lembaga Adam dari tanah liat kering seperti tembikar” – (ar-Rahman:14). Sari dari tanah (sulalatin min thi'n): “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah.” – (Al-Mukminun: 12)

Zat renik (turab): ”Kami telah menciptakan kamu dari tanah.” (al-Hajj: 5) Tafsir Pimpinan Ar-Rahman menyatakan kejadian dari tanah ini ialah yang berasal dari pati makanan yang diperoleh dari tanaman dan hidupan di bumi.

Adam adalah manusia awal dan pertama dicipta dari thi'n, sementara anak-cucu Adam (Bani Adam) pula daripada nuthfah lalu berkembang di dalam kandungan ibunya setiap 40 hari dalam setiap proses perkembangannya.

Bermula dari nuthfah (40 hari), alaqah (40 hari) dan kemudian mudghah (40 hari) lalu manusia kemudiannya diberi ruh pada hari ke 120. Proses ini dijelaskan dalam surah seperti Al-Sajdah: 7-9, Al-Hijr :28-29, Shad:71-72. Semua proses perkembangan manusia di dalam rahim ibunya seperti yang dijelaskan oleh Al-Quran telah dibuktikan melalui ilmu perubatan moden.

Al-Quran turut memperkenalkan tiga nama untuk manusia. Nama ini pula mempunyai maksud tertentu yang menggambarkan mengenai sifat (karakter) insan itu sendiri. Ketiga-tiga nama itu (banyak terdapat dalam al-Quran dan mudah dijumpai) ialah:

Insan yang berasal dari kata ‘uns yang bermaksud jinak, harmoni dan tampak. Juga dari kata nasiya yang bermaksud lupa/lalai. Basyar: lebih menunjukkan sifat jasmani/lahiriah manusia. Bani Adam: anak Adam atau zuriat Adam.

Berdasarkan kepada tiga nama yang digunakan oleh al-Quran itu maka dapatlah kita mengambil kesimpulan bahawa Bani Adam (anak Adam), iaitu manusia dapat dilihat dalam dua dimensi atau kaca mata iaitu dimensi Al-Basyar iaitu manusia sebagai makhluk hidup dari aspek biologinya (anatomi dan fisiologinya) dan dimensi Al-Insan iaitu manusia sebagai mahkluk hidup secara psikologi dan berkesedaran yang dihubungkan dengan unsur roh (rohaniah).

Jika kita amati dan fahami unsur ciptaan manusia maka jelaslah bahawa jasmani manusia adalah terbina daripada bahan rendah yang bersifat material iaitu tanah (segumpal darah) yang mudah rosak dan musnah.

Dalam proses tumbesaran fizikal (tubuh badannya) manusia bergantung kepada makanan yang semuanya bermula dari tanah yang kesuburannya bergantung kepada air. Namun bila kita lihat kepada komponen kedua unsur ciptaan manusia iaitu roh (rohani) maka manusia mempunyai destini ke arah alam tinggi, alam metafizik, alam spiritual atau lebih jelas lagi alam akhirat.

Destini yang tinggi ini jelas dapat kita fahami pada tabii yang ada pada manusia iaitu akal (intelek), akhlak serta spiritual insan yang cenderung kepada hal kerohanian dan metafizik.

Muhammad Iqbal dalam menerangkan konsep khudi (diri) menjelaskan bahawa manusia pada hakikatnya adalah makhluk kerohanian (spiritual) di mana ia mampu membangun, mengembang dan menyempurnakan dirinya ke arah penyempurnaan kehidupannya.

Manusia melalui potensi kerohanian yang dikembangkan melalui aktiviti intelektual (ilmu pengetahuan), agama, kebudayaan dan kesusasteraan dapat merealisasikan dirinya secara sempurna dan menemukan jati dirinya sebagai khalifah tuhan di muka bumi ini. Melalui aktiviti intelektual dan kerohanian inilah maka terbangun dan berkembangnya tamadun manusia.

Dalam pemikiran filsafat Sunan Bonang (Wali Songo) pula, ulama sufi ini melihat manusia secara rohaninya dilengkapi dengan sifat kekuasaan (jalal), keindahan (jamal) dan kesempurnaan (kamal) Tuhan.

Sunan Bonang melihat seluruh alam dunia ini ada dalam diri manusia dan untuk memahaminya manusia perlu mengenal dirinya. Bagi Sunan Bonang sholat adalah perbuatan menuju dan menyerah diri sepenuhnya kepada ‘Yang Dipuja’ atau ‘Yang Disembah’ iaitu tidak lain ialah Allah SWT.

Di kalangan ahli sufi manusia di anggap tajalli tuhan yang memiliki rahsia ketuhunan. Konsep tasawuf melihat manusia memiliki sifat nasut (kemanusian) dan lahut (ketuhanan). Sifat nasut didasarkan kepada dimensi materi (jasmaniah) manusia sementara sifat lahut pula didasarkan kepada dimensi rohani (spiritual) manusia.